Rabu, 15 Mei 2024 | 5:38pm
Guru wanita yang pengsan ketika melakukan demonstrasi pemadaman api di sekolahnya dibawa ke Klinik Kesihatan Gulau oleh anggota BBP Sik untuk mendapatkan rawatan. - Foto ihsan bomba
Guru wanita yang pengsan ketika melakukan demonstrasi pemadaman api di sekolahnya dibawa ke Klinik Kesihatan Gulau oleh anggota BBP Sik untuk mendapatkan rawatan. - Foto ihsan bomba

Guru disangka bergurau, rupanya pengsan

SIK: Seorang guru wanita yang disangka bergurau atau 'prank' apabila secara tiba-tiba pengsan ketika menjalani latihan demonstrasi memadam kebakaran di sebuah sekolah rendah di daerah ini, pagi tadi.

Situasi cemas berlaku apabila guru berusia 33 tahun itu dikatakan menyahut cabaran murid di sekolah berkenaan supaya mencuba melakukan demonstrasi pemadaman api bersama anggota pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik di hadapan 350 murid dan guru di sekolah itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata kejadian berlaku pada jam 10.37 pagi ketika program Taklimat Keselamatan Awam dan Latihan Kebakaran di sekolah itu.

Beliau berkata, keadaan pada awalnya terkawal dan berjalan lancar sebelum bertukar cemas apabila guru terbabit secara tiba-tiba lemah dan pengsan.

"Guru itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Gulau untuk menjalani pemeriksaan dengan menggunakan jentera EMRS BBP Sik yang kebetulan berada sewaktu latihan kebakaran dilakukan.

"Keadaan guru itu dilaporkan stabil dan kembali sedar ketika dibawa ke klinik kesihatan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, guru wanita itu yang baru tiga bulan bertugas di sekolah terbabit turut mengakui masih fobia dengan api selepas kejadian berkenaan.

Berita Harian X