Rabu, 15 Mei 2024 | 3:06pm
Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI). (Foto hiasan)
Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI). (Foto hiasan)

89 warga asing ditahan dalam seminggu

JOHOR BAHRU: Seramai 89 warga asing ditahan dalam Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Selera, Ops Minyak dan Ops Kutip Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Johor, yang dijalankan dalam tempoh seminggu sehingga kelmarin.

Pemangku Pengarah Imigresen Negeri Johor, Mohd Faizal Shamsudin, berkata dalam serbuan Ops Sapu, seramai 40 warga asing ditahan hasil pemeriksaan di 19 premis di Gelang Patah.

Katanya, tindakan diambil susulan maklumat awam berhubung warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk tinggal di Malaysia.

"Dalam operasi itu, seramai 246 warga asing diperiksa. Semua mereka yang ditahan adalah 27 warga Bangladesh, warga India (tujuh), warga Nepal (tiga), warga Pakistan (dua) dan seorang lelaki warga China.

"Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan berusia antara 19 tahun hingga 42 tahun," katanya menerusi kenyataan, semalam.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, dalam serbuan berasingan yang dijalankan serentak minggu lalu di seluruh Johor, seramai 49 warga asing ditahan.

Katanya, operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Penguat Imigresen Negeri Johor, Unit Penguat kuasa Cawangan Batu Pahat, Mersing, Segamat dan Muar dengan menyerbu 31 premis berkenaan.

"Semua yang ditahan di daerah Johor Bahru adalah 12 warga Indonesia, masing-masing seorang warga Bangladesh, warga Pakistan dan warga Thailand, berusia antara 27 tahun hingga 48 tahun.

"Di Batu Pahat, kami menahan tujuh warga Myanmar dan seorang warga Pakistan berusia antara 25 tahun hingga 47 tahun.

"Di Mersing, lima warga Indonesia, warga Nepal (lima) dan seorang warga Bangladesh berusia antara 22 tahun hingga 43 tahun ditahan manakala tangkapan di daerah Segamat membabitkan enam Pakistan dan seorang warga Indonesia berusia antara 25 hingga 45 tahun.

"Di Muar, lima warga Indonesia, dua warga Myanmar serta seorang warga Turki berusia antara 21 tahun hingga 50 tahun, ditahan.

"Semua warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa," katanya.

Sebanyak 10 Notis hadir ke pejabat dikeluarkan oleh Imigresen bagi membantu siasatan. Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X