Selasa, 14 Mei 2024 | 6:04pm
Gambar fail Badrul Hisham Shaharin atau lebih lebih dikenali sebagai Che'gu Bard, ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, 30 April lalu. - FAIL NSTP
Gambar fail Badrul Hisham Shaharin atau lebih lebih dikenali sebagai Che'gu Bard, ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, 30 April lalu. - FAIL NSTP

Mahkamah Tinggi larang Chegu Bard keluar kenyataan kes jenayah dihadapi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengeluarkan perintah larangan terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes jenayah dihadapinya.

Hakim K Muniandy membuat keputusan mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah sama sebelum ini.

Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati perintah yang ditolak hakim Mahkamah Sesyen itu sebagai tidak wajar.

Dengan itu, hakim memutuskan perintah larangan berkenaan adalah tambahan kepada perintah jaminan diberikan kepada Chegu Bard sementara menunggu perbicaraan.

Dalam keputusannya, Muniandy berkata, adalah lebih baik jika hakim bicara mendengar kes mengikut undang-undang dan prosedur tanpa menghiraukan kenyataan, ulasan dan kritikan, yang mungkin dilemparkan secara keseluruhan terhadap kes itu.

Muniandy berkata, prinsip undang-undang berkaitan proses perbicaraan perlu dipelihara dalam apa juga keadaan, yang mana tuduhan mengikut Seksyen 500 dibaca bersama Seksyen 499 Kanun Keseksaan adalah untuk mengelak tohmahan yang akan memudaratkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, prosiding menghina mahkamah atau seumpamanya adalah perkara yang perlu diuruskan apabila keperluan itu timbul.

"Sehingga itu, isu yang ingin disampaikan pada perbicaraan perlu dipelihara oleh mahkamah," katanya.

Perintah dikeluarkan Muniandy itu adalah bagi pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong yang dihadapi Chegu Bard.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, menolak permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan perintah larangan terhadap Chegu Bard bagi pertuduhan menghasut.

Azhar dalam keputusannya berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan responden bahawa tiada alasan kuat bagi mahkamah mengubah perintah diberikan hakim Mahkamah Sesyen apabila permohonan (perintah larangan) itu dibuat.

Pada 29 April lalu, Chegu Bard, 45, didakwa atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya di Taman Bukit Cheras di sini, pada jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Pertuduhan itu mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama, boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau juga didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Berita Harian X