Sabtu, 11 Mei 2024 | 2:13pm
 Foto hiasan/Wikipedia
Foto hiasan/Wikipedia

MAQIS rampas ubi keledek tidak patuh syarat import

ALOR SETAR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 7,833 kilogram (kg) ubi keledek bernilai lebih RM142,000 kerana tidak mematuhi syarat import di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Jumaat lalu.

Pengarah MAQIS Kedah, Hisham Abu Bakar, berkata rampasan dilakukan hasil pemeriksaan yang dijalankan pada kontena yang masuk dari negara jiran kira-kira pukul 5 petang.

"Pemeriksaan mendapati, kesemua ubi keledek yang diimport daripada Thailand itu tidak mematuhi syarat import yang sah seperti yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan. Kesemua barangan ini ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak melebihi enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Hisham berkata tindakan penguatkuasaan undang-undang melalui operasi bersama agensi berkaitan akan terus diperkasakan bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasilan pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berjangkit serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Berita Harian X