Sabtu, 11 Mei 2024 | 1:45pm
Keadaan salah satu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong. - Foto Bomba
Keadaan salah satu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong. - Foto Bomba

Lelaki maut, dua cedera nahas tiga kenderaan di Bedong

SUNGAI PETANI: Pemandu sebuah kereta Perodua Myvi maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Lee Latex, Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 8.08 pagi.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azlan Abdul Aziz bersama tujuh anggota ,bergegas ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Hilux, Honda City dan Perodua Myvi.

"Pemandu kereta Toyota Hilux berusia 50-an dilaporkan tersepit dan cedera parah manakala pemandu Honda City dihantar ke hospital oleh orang awam.

"Pemandu kereta Perodua Myvi berusia 47 tahun cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan menyerahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada polis.

Berita Harian X