Khamis, 9 Mei 2024 | 2:17pm
Lapan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan memasuki hutan simpan kekal tanpa permit, dua bulan lalu. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi
Lapan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan memasuki hutan simpan kekal tanpa permit, dua bulan lalu. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Kes bom ikan: 8 didenda RM7,000 masuk hutan simpan tanpa permit

KUALA KANGSAR: Lapan lelaki didenda RM7,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, di sini, hari ini selepas mengaku memasuki hutan simpan kekal tanpa permit, dua bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Shukri Abd Latif, 48, Jamil Chew Abdullah, 55, Che Mohd Rabillah Che Hassan, 36, Mohd Fadzli Abd Latif, 44, Fahmie Adiran Azmi, 35, Muhammad Rezwan Harun, 41, Mohd Anuar Md Jusoh, 50, dan Azrul Hafizi Abdullah, 41, masing-masing membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka didakwa memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit yang sah di Kompartmen 359 Hutan Simpan Banding, di daerah Hulu Perak pada 7 hingga 8 Mac lalu.

Oleh yang demikian, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 47 (4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Wan Azimah Yaacob dan Timbalan Pendakwa Raya, Phulrani Kaur manakala semua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap tertuduh dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Pada 12 Mac lalu, media melaporkan sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan.

Pada 15 Mac pula, Jabatan Perhutanan Negeri Perak dilaporkan membekukan pemberian Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal di daerah Hulu Perak bagi membolehkan siasatan berhubung kes pengeboman ikan itu dilakukan.

Berita Harian X