Khamis, 9 Mei 2024 | 11:06am
Dua pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang ditahan SPRM pada 5 Mei lalu, disambung reman selama tiga hari lagi bermula esok. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Dua pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang ditahan SPRM pada 5 Mei lalu, disambung reman selama tiga hari lagi bermula esok. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Dua pegawai kanan KADA disambung reman

KOTA BHARU: Dua pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 Mei lalu, disambung reman selama tiga hari lagi bermula esok.

Langkah menyambung reman itu dimohon SPRM bagi membantu siasatan selepas mereka disyaki meminta dan menerima wang rasuah.

Mereka disambung reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Dua lagi pegawai kanan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tahanan reman terhadap mereka tamat hari ini.

Perintah sambung reman hari ini dikeluarkan oleh Hakim, Nik Habri Muhamad, di Mahkamah Sesyen di sini.

Media sebelum ini melaporkan, tiga pegawai kanan agensi kerajaan berusia antara 40 hingga 49 tahun ditahan jam 7.30 malam pada 5 Mei lalu sebelum ditahan reman selama empat hari bermula 6 Mei sehingga hari ini, kerana disyaki terbabit meminta dan menerima rasuah bagi pelbagai projek termasuk pembekalan di Kelantan.

Mereka dipercayai terbabit dalam meminta dan menerima wang rasuah daripada beberapa individu atau syarikat, namun jumlah rasuah masih dalam siasatan SPRM.

Seorang daripada mereka ditahan pada 30 April lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 selepas disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu dan ditahan reman selama sembilan hari.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husain, meminta warga KADA bertenang susulan penahanan empat pegawai kanan agensi itu oleh SPRM menahan empat pegawai kanan agensi itu iaitu seorang pada 30 April dan tiga lagi pada 5 Mei lalu.

Berita Harian X