Rabu, 8 Mei 2024 | 3:43pm
Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil (kanan) memberi semangat kepada lelaki yang tersesat lebih 6 jam di kawasan kebun sawit dan getah di Felda Teloi Timur, Sik, Kedah. - Foto ihsan Bomba
Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil (kanan) memberi semangat kepada lelaki yang tersesat lebih 6 jam di kawasan kebun sawit dan getah di Felda Teloi Timur, Sik, Kedah. - Foto ihsan Bomba

Sesat 6 jam dalam kebun getah ketika pulang beraya angkara aplikasi trafik

SIK: Seorang lelaki tersesat lebih enam jam dalam kebun getah dan sawit di Felda Teloi Kanan, di sini, selepas menggunakan aplikasi trafik ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumah abangnya di Sungai Petani.

Lelaki berusia 32 tahun itu dikatakan pulang beraya dari rumah rakannya di Sungai Lalang, Sungai Petani, kira-kira jam 1 pagi tadi, namun tersesat akibat menggunakan aplikasi itu selepas gagal mencari liputan telekomunikasi di kawasan berkenaan dan hanya kira-kira jam 7 pagi, berjaya menghubungi bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan itu, pihaknya bergegas ke lokasi untuk melakukan penyelamatan sebelum menemui mangsa yang menunggang Honda RS pada jam 8.10 pagi dalam keadaan menggigil dan menangis teresak-esak.

"Mangsa menunggang motosikal seorang diri, tidak sangka akan tersesat sehingga kebun getah dan ladang kelapa sawit. Ini kerana dia hanya berpandukan aplikasi itu secara langsung untuk pulang bermalam di rumah abangnya di Sungai Petani, namun tersesat lebih 10 kilometer dari jalan besar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkhairi berkata, pemuda itu mendakwa pandangannya gelap yang menyebabkannya panik sebelum cuba mencari jalan keluar tetapi gagal menemuinya.

Menurutnya, mangsa kemudian melalui jalan berselut dan tanah merah menyebabkan dia pasrah dan cuba menghubungi pihak bomba, namun gagal disebabkan tiada liputan telekomunikasi.

"Dia hanya berjaya menghubungi bomba jam 7 pagi tadi selepas puas cari rangkaian liputan. Mangsa mendakwa terdengar bunyi binatang buas dan 'lembaga' sepanjang berada dalam kebun getah dan kelapa sawit itu," katanya menambah mangsa yang mengalami luka ringan dihantar ke Klinik Kesihatan Teloi Timur untuk rawatan.

Berita Harian X