Rabu, 8 Mei 2024 | 2:01pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Polis beri jaminan pertingkat keselamatan perlawanan Piala Sumbangsih

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kawalan keselamatan menjelang perlawanan Piala Sumbangsih 2024 di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya akan memastikan keselamatan penonton dan pemain pada perlawanan berkenaan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) terjamin.

"Seperti dinyatakan Ketua Polis Johor (Komisioner M Kumar) mengenai persediaan keselamatan oleh pegawai dan anggota polis, PDRM akan memperketat kawalan dan pemeriksaan keselamatan.

"Keanggotaan diatur dengan begitu ramai dan rapi. Ini bagi memastikan keselamatan keseluruhan semua pihak termasuk pemain dan peminat," katanya kepada media di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mengenai persoalan sama ada perlawanan itu wajar ditangguhkan demi keselamatan, Razarudin berkata, keputusan sama ada perlawanan diteruskan atau ditangguhkan terletak di tangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Semalam, media melaporkan Selangor FC sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada MFL supaya menunda tarikh perlawanan Piala Sumbangsih.

Mengikut jadual, aksi Piala Sumbangsih yang bakal menemukan JDT dan Selangor sepatutnya berlangsung di SSI, Jumaat ini.

Polis memberi jaminan keselamatan selepas media melaporkan ura-ura skuad Selangor FC menarik diri untuk mengharungi perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT, Jumaat ini.

Ia berikutan maklumat membabitkan penginapan dan perjalanan pasukan Selangor FC untuk mengharungi perlawanan Piala Sumbangsih 'bocor' menyebabkan keselamatan skuad Gergasi Merah terancam.

Perkara itu didedahkan sumber rapat pasukan terbabit yang memaklumkan butiran atau maklumat berkaitan perkara itu yang sepatutnya tidak didedahkan kepada umum, namun sebaliknya berlaku.

Terdahulu, media melaporkan, tidak sampai seminggu selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun, satu lagi insiden mengejutkan membabitkan seorang lagi pemain kebangsaan, Faisal Halim, yang disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara dekat sini, Ahad lalu.

Berita Harian X