Selasa, 7 Mei 2024 | 5:39pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris mengesahkan seorang pengasuh wanita direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut berkait kematian bayi berusia tujuh bulan semalam. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris mengesahkan seorang pengasuh wanita direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut berkait kematian bayi berusia tujuh bulan semalam. - Foto fail NSTP

Pengasuh wanita ditahan berkait kematian bayi jagaannya dibuaian

BUTTERWORTH: Polis menahan seorang pengasuh wanita di sini, semalam, bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang berada dibawah jagaannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata wanita berusia 30an itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat untuk siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya sebelum itu menerima maklumat dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) memaklumkan seorang bayi perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri meninggal dunia.

"Hasil siasatan awal polis mendapati bayi perempuan warga tempatan berusia tujuh bulan itu ditinggalkan sepasang suami isteri kepada pengasuh untuk dijaga setiap hari semasa hari bekerja.

"Ketika kejadian, bayi itu dikatakan sedang tidur dalam buaian dan semasa suspek hendak membetulkan kedudukan bayi berkenaan didapati ia tidak sedarkan diri.

"Suspek seterusnya membawa bayi itu ke HSJ untuk mendapatkan rawatan namun kira-kira jam 4 petang (hari sama) bayi itu disahkan meninggal," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Helmi berkata bedah siasat yang dijalankan ke atas bayi itu mendapati punca kematian adalah disebabkan jangkitan kuman pada salur pernafasan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Berita Harian X