Selasa, 7 Mei 2024 | 11:59am
Laporan BH Online pada 5 Mei 2024 mengenai penahanan pasangan suami isteri selepas anak mereka mendakwa dirogol bapa sehingga melahirkan dua anak.
Laporan BH Online pada 5 Mei 2024 mengenai penahanan pasangan suami isteri selepas anak mereka mendakwa dirogol bapa sehingga melahirkan dua anak.

Kes 8 tahun dirogol bapa, JKM sedia khidmat kaunseling bantu mangsa

SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan akan menyediakan bantuan sokongan psikologi dan kaunseling kepada wanita berusia 20 tahun yang didakwa menjadi mangsa rogol bapa kandungnya sejak mangsa berusia 12 tahun.

Pengarahnya, Rosnah Sardi, berkata sokongan itu akan diberikan kepada mangsa berdasarkan keperluan dan perlindungan bagi memulihkan trauma dihadapi wanita itu yang ketika ini tinggal bersama ibu saudaranya.

"Semakan lanjut akan dijalankan berhubung keadaan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini sambil menambah, pihaknya juga masih menyemak status anak yang dilahirkan hasil hubungan haram itu yang kini berusia tiga tahun.

Jumaat lalu, polis menahan sepasang suami isteri berusia awal 40-an di Port Dickson selepas anak mereka berusia 20 tahun mendakwa dirogol bapa kandung sejak lapan tahun lalu sehingga melahirkan dua anak.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, dilapor berkata polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 20 tahun, jam 11 malam 1 Mei lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Siasatan awal mendapati kejadian didakwa sejak mangsa berusia 12 tahun pada 2016 sehinggalah kes terbaharu pada 2024. Semua kejadian didakwa berlaku dalam bilik rumah di sebuah kampung di Port Dickson.

Berita Harian X