Ahad, 5 Mei 2024 | 6:28pm
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan dalam kemalangan di Beaufort. NSTP/Ihsan Bomba
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan dalam kemalangan di Beaufort. NSTP/Ihsan Bomba

Suami isteri maut kemalangan

BEAUFORT: Pasangan suami isteri maut selepas terbabit kemalangan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Kampung Lingkungan, di sini, hari ini.

Ketika nahas jam 1.50 tengah hari itu, mangsa, Midin @ Maidin Sinja, 69, dan isterinya, Jurai Imran, 65, maut tersepit dalam kereta Perodua Myvi dinaiki pasangan terbabit.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday, berkata sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Khalid Abd Latif bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 1.56 tengah hari.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati dua mangsa tersepit dalam Perodua Myvi dan dua lagi dalam Toyota Unser.

"Dua mangsa dalam Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan manakala dua lagi mangsa dalam kenderaan Toyota Unser juga pasangan suami isteri berusia 69 dan 64, cedera," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pasukan EMRS memberi rawatan awal kepada pasangan terbabit sebelum diserahkan kepada pihak ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Berita Harian X