Ahad, 5 Mei 2024 | 7:54am

Lapan tahun rogol anak, suami isteri ditahan

PORT DICKSON: Polis menahan suami isteri berusia awal 40-an selepas anak mereka berusia 20 tahun mendakwa dirogol bapa kandungnya sejak lapan tahun lalu sehingga melahirkan dua anak.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 20 tahun, jam 11 malam 1 Mei lalu.

"Mangsa membuat aduan mendakwa menjadi mangsa rogol bapa kandungnya sejak dia berusia 12 tahun.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sejak 2016 sehinggalah kejadian terbaru pada 2024 dan semua kejadian berlaku dalam bilik rumahnya di Kampung Chuah, Port Dickson," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, mangsa pernah menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu namun tidak diendahkan walaupun mangsa sudah melahirkan dua orang anak.

"Bertindak atas aduan mangsa, polis menahan pasangan itu pada 3 Mei lalu," katanya.

Aidi Sham berkata, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah narkotik.

Suspek kini ditahan reman lima hari bermula semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 376B kerana sumbang mahram.

Berita Harian X