Sabtu, 4 Mei 2024 | 12:29pm

Rumah ditembak jam 3 pagi, kereta dan pikap antara turut rosak

PASIR MAS: Sebuah keluarga yang sedang nyenyak tidur di rumah mereka di Kampung Apa-Apa, Gelang Mas, Jalan Bunut Susu, di sini, dikejutkan dengan beberapa das tembakan awal pagi tadi.

Meskipun tiada yang tercedera, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi tadi itu menyebabkan dua kenderaan jenis Perodua Viva dan Toyota Hilux rosak.

Seorang pemuda berusia lingkungan 30-an yang hanya ingin dikenali Yie berkata, meskipun ketakutan, dia memberanikan diri untuk keluar melihat kawasan luar rumah selepas keadaan reda untuk menyiasat apa sebenarnya berlaku.

Dua kenderaan Perodua Viva dan Toyota Hilux mengalami kerosakan akibat terkena beberapa das tembakan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Dua kenderaan Perodua Viva dan Toyota Hilux mengalami kerosakan akibat terkena beberapa das tembakan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

"Apa yang saya dengar, sekurang-kurangnya empat das tembakan dilepaskan malam tadi dan sebaik keluar memang benar terdapat kesan tembakan pada kereta, selain cermin juga pecah.

"Selain itu, ada juga kesan tembakan pada bahagian dinding rumah.

"Kami sekeluarga tidak mempunyai musuh dan saya sendiri bingung apa punca sebenar kediaman kami ditembak," katanya.

Yie berkata, dia sudah membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa dapat mengesan pelaku berkenaan kerana bimbang akan keselamatan diri serta keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Antara kesan tembakan pada cermin Perodua Viva yang dilepaskan ke arah sebuah rumah di Kampung Apa-Apa di Gelang Mas, Jalan Bunut Susu, awal pagi tadi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Antara kesan tembakan pada cermin Perodua Viva yang dilepaskan ke arah sebuah rumah di Kampung Apa-Apa di Gelang Mas, Jalan Bunut Susu, awal pagi tadi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X