Jumaat, 3 Mei 2024 | 10:47am
Kebakaran rumah di Taman Kingfisher, Likas, Kota Kinabalu, tengah malam tadi menyebabkan dua wanita mengalami sesak nafas. NSTP/Ihsan Bomba
Kebakaran rumah di Taman Kingfisher, Likas, Kota Kinabalu, tengah malam tadi menyebabkan dua wanita mengalami sesak nafas. NSTP/Ihsan Bomba

Dua wanita sesak nafas dalam kebakaran

KOTA KINABALU: Dua wanita mengalami sesak nafas dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Raja Udang 2, Taman Kingfisher, Likas, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi, berkata kedua-dua mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan di hospital.

Katanya, kejadian jam 12 tengah malam itu membabitkan sebuah rumah jenis kekal yang terbakar 15 peratus di bilik tidur dengan keluasan 12x6 kaki persegi.

"Kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api sebelum bomba tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, terdapat dua mangsa terbabit mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang tiba di lokasi kejadian.

"Kedua-dua mangsa termasuk seorang berusia 28 tahun kemudian dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas menggunakan Jentera EMRS untuk rawatan," katanya.

Berita Harian X