Rabu, 1 Mei 2024 | 9:08pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pegawai kanan ditahan SPRM: KADA akan beri kerjasama penuh

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan beri kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan susulan penahanan seorang pegawai kanannya, semalam.

Pengerusinya, Muhammad Husin berkata, beliau juga memberi kepercayaan penuh kepada SPRM untuk melakukan penyiasatan yang telus dan terperinci.

"Ia selaras dengan misi dan visi saya membina wajah baru KADA dan membaik pulih mutu perkhidmatan kami khususnya kepada petani.

"Mengenai tangkapan pegawai kanan KADA, saya dimaklumkan pegawai berkenaan sudah dibawa ke mahkamah untuk perintah tahanan reman," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan SPRM selepas dipercayai membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.

Sumber berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan pada jam 9.30 malam ketika tampil memberi keterangan di pejabat SPRM.

Katanya, suspek dipercayai membuat tuntutan untuk program yang tidak dilaksanakan.

Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain mengesahkan tangkapan berkenaan dan suspek direman enam hari bermula hari ini.

Berita Harian X