Rabu, 1 Mei 2024 | 3:56pm
Sebanyak 25 rumah kongsi di Pulau Perhentian, musnah dalam kebakaran, pagi tadi. Ihsan Bomba
Sebanyak 25 rumah kongsi di Pulau Perhentian, musnah dalam kebakaran, pagi tadi. Ihsan Bomba

25 rumah kongsi di Pulau Perhentian musnah terbakar

BESUT: Sebanyak 25 rumah kongsi di Pulau Perhentian, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Difahamkan, lebih 80 pekerja buruh binaan yang mendiami rumah kongsi berkenaan hilang tempat tinggal.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman, berkata sepasukan enam anggota bersama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 9.09 pagi.

Katanya, pihak bomba menggunakan bot untuk ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari daratan.

"Sebaik kami sampai ke lokasi, kami mendapati api sudah merebak hingga menyebabkan 25 daripada 33 rumah kongsi berkenaan hangus terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, hasil tindakan pantas, pihaknya dapat mengawal api daripada merebak ke lapan lagi rumah kongsi berdekatan.

"Operasi mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal dan memadam kebakaran. Operasi turut dibantu Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X