Rabu, 1 Mei 2024 | 7:07am
Foto hiasan
Foto hiasan

Bayi 9 bulan maut dipercayai didera

JOHOR BAHRU: Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dipercayai mangsa penderaan, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 3.50 pagi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan HSA berkaitan mangsa, Khamis lalu.

Menurutnya, bayi perempuan warga asing berkenaan dimaklumkan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan mangsa disyaki didera.

Katanya, bertindak atas maklumat, pada 10 malam Khamis lalu sepasukan polis membuat tangkapan terhadap dua rakan ibu mangsa yang merupakan warga asing dan seorang lelaki tempatan yang merupakan teman lelaki kepada seorang daripada wanita itu.

"Turut ditahan pengasuh mangsa iaitu pasangan suami isteri warga tempatan.

"Tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini yang mana suspek berusia lingkungan 29 hingga 42 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis masih mengesan ibu mangsa yang merupakan seorang warga Vietnam.

Menurutnya, semua suspek dibenarkan tahanan reman selama enam hari mulai Jumaat lalu oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

"Hasil bedah siasat mendapati wujud elemen jenayah dalam kematian mangsa," katanya.

Berita Harian X