Selasa, 30 April 2024 | 6:46pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin. - Foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin. - Foto BERNAMA

Dadah fentanyl belum masuk ke Malaysia - Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tidak ada kemasukan atau cubaan penyeludupan dadah jenis fentanyl ke dalam pasaran tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, berkata setakat ini pihaknya tidak mengesan pengedaran dadah jenis fentanyl di Malaysia.

"Berdasarkan maklumat serta risikan daripada rakan sejawat di luar negara juga mendapati tidak ada kemasukan atau percubaan penyeludupan dadah jenis fentanyl ke dalam pasaran tempatan.

"Bagaimanapun, dalam usaha mengekang kemasukan apa jua jenis dadah dan bahan terlarang, JSJN bersama agensi penguat kuasa yang lain akan memperketat lagi kawalan keselamatan di sempadan negara," katanya hari ini.

Semalam, media melaporkan penguat kuasa di Kelantan bekerjasama dengan agensi dari Thailand bagi mengekang kemasukan dadah baharu fentanyl yang mempunyai kesan bahaya 100 kali ganda berbanding morfin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, pihaknya giat dalam memberikan kesedaran dan menyebarkan maklumat berkaitan dadah berkenaan kepada anggota keselamatan dan orang awam.

Menurutnya, wakil Parlimen dari Thailand melakukan kunjungan bagi sama-sama membincangkan soal keselamatan di sempadan serta usaha mengekang penularan dadah berkenaan.

Berita Harian X