Sabtu, 27 April 2024 | 2:28pm
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit susulan kemalangan membabitkan dua pikap di Kuala Krai - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit susulan kemalangan membabitkan dua pikap di Kuala Krai - Foto ihsan Bomba

2 pikap bertembung di Kuala Krai: Seorang lagi mangsa maut

KUALA KRAI: Kemalangan membabitkan dua pikap di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Bukit Ah Kim, di sini meragut satu lagi nyawa menjadikan keseluruhan empat maut dalam nahas itu.

Mangsa, Samsiah Man, 60, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, di sini, jam 1.50 tengah hari tadi.

Terdahulu tiga mangsa disahkan maut, manakala lima yang lain parah selepas Toyota Hilux bertembung dengan Ford Ranger dinaiki empat sekeluarga kira-kira jam 12.50 malam tadi.

Samsiah antara penumpang Ford Ranger yang turut dinaiki anaknya, Noor Hayati Harun, 40, yang turut meninggal dunia, selain suami, Tuan Arzue Raja Daud, 50 dan anak mereka, Tuan Muhamad Adam Ashraf, 16.

Noor Hayati disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua lagi yang turut maut adalah pemandu Toyota Hilux, Juhazrie Junoh, 37 dan penumpangnya, Mohamad Anif Mat Jizi ,41.

Ketika kejadian Noor Hayati bersama keluarga dikatakan dalam perjalanan pulang ke Gua Musang selepas menziarahi keluarga di Rantau Panjang, sebelum bertembung Toyota Hilux terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat, berkata siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku ketika Toyota Hilux dipandu Juhazrie bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menghala Machang.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, Toyota Hilux hilang kawalan lalu bertembung Ford Ranger dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux serta penumpang Ford Ranger meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang lagi penumpang Ford Ranger meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra jam 1.50 pagi," katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X