Sabtu, 27 April 2024 | 10:54am
Sekitar operasi Jabatan Imigresen Johor dengan keseluruhan 265 warga asing ditahan. - Foto ihsan Imigresen
Sekitar operasi Jabatan Imigresen Johor dengan keseluruhan 265 warga asing ditahan. - Foto ihsan Imigresen

2 hari gempur, Imigresen tahan 265 warga asing

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Johor menahan 265 warga asing ditahan melalui beberapa serbuan sepanjang tempoh dua hari pada kelmarin dan semalam.

Dalam serbuan pertama di sebuah tapak pembinaan di Pasir Gudang kira-kira jam 10.30 kelmarin, sejumlah 530 warga asing dan tempatan diperiksa dengan 207 ditahan.

Pengarah Imigresen negeri, Baharuddin Tahir berkata mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 61 tahun membabitkan 132 warga Bangladesh, China (53) Myanmar (10), Pakistan (enam), Indonesia (tiga), Vietnam (dua) serta seorang lelaki tempatan.

"Semua warga asing ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen, manakala seorang lelaki tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing," katanya.

Dalam operasi kedua membabitkan serbuan ke atas lapan premis sekitar Iskandar Puteri semalam, beliau berkata 16 lagi warga asing ditahan susulan aduan awam berhubung kebanjiran warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit sah, selain berniaga tanpa lesen.

Sekitar operasi Jabatan Imigresen Johor dengan keseluruhan 265 warga asing ditahan. - Foto ihsan Imigresen
Sekitar operasi Jabatan Imigresen Johor dengan keseluruhan 265 warga asing ditahan. - Foto ihsan Imigresen

"Semua yang ditahan membabitkan masing-masing enam warga Bangladesh dan Indonesia, dua Sri Lanka dan masing-masing seorang warga India dan Pakistan.

"Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.

Mengulas operasi di Senai pula, beliau berkata 43 lagi ditahan hasil serbuan ke atas 15 premis.

"Dalam serbuan di kawasan rumah kedai itu, ada warga asing bersembunyi pada balkoni bagi mengelak dicekup, malah ada yang cuba dengan menyamar pelanggan di sebuah premis bagi mengaburi pegawai.

"Seramai 123 warga asing dan tempatan diperiksa dan 43 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan berkait Imigresen," katanya.

Berita Harian X