Khamis, 25 April 2024 | 8:03am
Seorang lelaki dan wanita maut dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Jambatan Pahi, Kuala Krai semalam. - Foto Bomba
Seorang lelaki dan wanita maut dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Jambatan Pahi, Kuala Krai semalam. - Foto Bomba

3 maut nahas di Kuala Krai semalam

KUALA KRAI: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di Jambatan Toseng Sungai Batu dekat Jalan Kampung Toseng, tengah hari semalam.

Dalam kejadian lebih kurang 12.30 tengah hari, mangsa yang berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dari Kampung Jerek menghala ke Dabong hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu jalan.

Dalam kemalangan berasingan, sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 76 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Jambatan Pahi jam 4.34 petang semalam.

Kemalangan berlaku apabila kereta Honda yang dipandu lelaki berusia 54 tahun dari arah Pasir Puteh menghala ke Sungai Sok hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar pembahagi jalan yang berada di sebelah kiri jalan.

"Akibat perlanggaran itu, isteri mangsa berusia 50 tahun tercampak keluar dari kenderaan, manakala mangsa pula tersepit dalam kenderaan berkenaan.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Berita Harian X