Rabu, 24 April 2024 | 5:54pm
Seorang lelaki dan wanita maut dalam kemalangan sebuah kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai Kampung Pahi, di Kuala Krai. - Foto Bomba
Seorang lelaki dan wanita maut dalam kemalangan sebuah kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai Kampung Pahi, di Kuala Krai. - Foto Bomba

Dua maut dalam kemalangan di Kuala Krai

KUALA KRAI: Seorang lelaki dan wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, di sini, hari ini.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Khairul Duha Abd Halim, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.44 petang.

Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai bergegas ke tempat kejadian.

"Sebuah kereta terbabas dan terbalik. Mangsa lelaki tersepit dan dibawa keluar pada jam 4.11 petang. Mangsa wanita pula tercampak keluar dari kereta.

"Kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X