Rabu, 24 April 2024 | 4:39pm
Najib diiringi pegawai Penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Najib diiringi pegawai Penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Najib tidak disoal sama ada beliau arahkan transaksi AS$700 juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak tidak mengarahkan pegawai kanan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyembunyikan daripada Lembaga Pengarah transaksi pindahan dana AS$700 juta daripada syarikat itu kepada Good Star Limited, yang dimiliki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin yang disoal balas oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bersetuju bahawa tiada arahan sedemikian yang diberikan oleh Najib kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Pengarah Eksekutif Pembangunan, Casey Tang.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika disoal berdasarkan siasatannya pada tahun 2018 membabitkan skandal kewangan 1MDB.

Bagaimanapun, Nur Aida tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa Shahrol Azral adalah 'alter ego' kepada Jho Low, sebaliknya berkata, Shahrol Azral percaya bahawa setiap arahan daripada Jho Low adalah daripada Najib.

Nur Aida hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Nur Aida hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Pada pernyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pendakwaan akan buktikan Najib melalui kata-kata dan tindakannya memberi arahan jelas kepada pegawai 1MDB, Lembaga Pengarah dan lain-lain bahawa Jho Low adalah 'alter ego' sebenarnya dan Jho Low bayangan tertuduh.

Shahrol Azral melalui keterangannya di mahkamah sebelum ini, berkata Pengerusi 1MDB ketika itu, Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak berpuas hati dengan pembayaran AS$700 juta ke akaun Good Star Limited, juga syarikat sekutu PetroSaudi International Ltd (PSI).

Melalui syarikat usaha sama (JVCo) 1MDB-PSI itu, 1MDB melakukan pembayaran dalam dua transaksi berbeza masing-masing AS$700 juta ke akaun Good Star dan juga AS300 juta ke akaun JVCo.

Perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta disebabkan pindahan dana ke dalam Good Star.

Sementara itu, Nur Aida berkata, beliau tidak menyoal Najib ketika siasatan sama ada bekas perdana menteri itu mengarahkan Shahrol Azral untuk memindahkan dana AS$700 juta berkenaan kepada Good Star Limited.

Nur Aida berkata, beliau berasakan adalah tidak penting untuk bertanyakan perkara itu kepada Najib, bagaimanapun menurut saksi terbabit, transaksi pindahan dana berkenaan ada ditanyakan kepada Shahrol Azral.

Nur Aida turut disoal mengenai hubungan Jho Low dengan selebriti antarabangsa dan kerabat diraja dari Asia Barat, bagaimanapun saksi itu berkata, beliau tidak mengetahui kaitan berhubung perkara berkenaan kerana tidak menyiasat ahli perniagaan terbabit.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Berita Harian X