Rabu, 24 April 2024 | 1:44pm
Mohd Norfadli dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas gagal membayar denda RM8,000 kerana perdaya wanita. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Mohd Norfadli dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas gagal membayar denda RM8,000 kerana perdaya wanita. - Foto NSTP/Alias Abd Rani

Bomoh dipenjara selepas gagal bayar denda RM8,000

BATU PAHAT: Seorang duda yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita berjumlah RM26,000 kononnya mampu merawat penyakit misteri Disember tahun lalu, dipenjara selepas gagal membayar denda RM8,000 yang dikenakan terhadapnya.

Tertuduh, Mohd Norfadli Razaha, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Pekerja bengkel yang juga bapa kepada lapan anak sebelum ini pernah didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdayakan seorang wanita yang mahu merawat penyakit misteri dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM26,000 bertempat di Tongkang Pechah, di sini, 9 Disember tahun lalu.

Dia dakwa melakukan kesalahan itu dan boleh dihukum mengikut seksyen berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa menghidap penyakit misteri, berusaha untuk mendapatkan khidmat bomoh bagi merawatnya.

Pada masa sama, tertuduh mendakwa dia mampu merawat mangsa namun dengan syarat, perlu menyediakan wang sejumlah sebagai bayaran merawat penyakit dihadapinya.

Tertuduh pada masa sama memberitahu mangsa, jika gagal menyediakan wang seperti dipinta, dia tidak akan merawat penyakit wanita itu.

Terpedaya dengan tawaran tertuduh, mangsa menyerahkan wang terbabit secara tunai tapi malangnya, dia tidak menerima rawatan seperti dijanjikan.

Mangsa yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis pada 18 Januari lalu. Bertindak atas maklumat polis menahan tertuduh pada keesokan hari bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman dengan minimum kerana insaf terhadap perbuatan dilakukannya.

Pihak pendakwaan pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian dialami mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar denda dikenakan dan perlu menjalani hukuman di Penjara Kluang.

Berita Harian X