Isnin, 22 April 2024 | 1:58pm
Bekas pekerja kedai perabot, Rosli Satiman, membayar denda RM1,000 selepas mengaku salah menampar pipi rakan sekerjanya. Gambar Alias Abd Rani
Bekas pekerja kedai perabot, Rosli Satiman, membayar denda RM1,000 selepas mengaku salah menampar pipi rakan sekerjanya. Gambar Alias Abd Rani

Padah tampar rakan sekerja, lelaki didenda RM1,000

BATU PAHAT: "Saya tampar pipinya kerana dia desak saya supaya berhenti kerja," demikian kata seorang bekas pekerja kedai perabot yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap rakan sekerja, bulan lalu.

Jawapan itu diberikan tertuduh, Rosli Satiman, 44, ketika Majistret, Suhaila Shafi'uddin, bertanyakan kenapa dia bertindak sedemikian terhadap rakan sekerjanya.

Mengikut pertuduhan, dia yang sudah berhenti kerja didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap rakannya berusia 20 tahun di sebuah kedai perabot di Jalan Kluang, di sini, jam 10 pagi, 29 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara setahun atau dengan RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh berang terhadap mangsa lalu menampar pipi kirinya menggunakan tangan.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan mendapat rawatan di hospital dengan laporan polis kemudian dibuat terhadap tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum kerana suda diberhentikan kerja serta perlu menanggung keluarga.

Selepas mengambil kira pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Berita Harian X