Isnin, 22 April 2024 | 12:16am
Sekumpulan PATI bersembunyi di atas siling di premis perniagaan ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia negeri Johor kelmarin. Gambar Ihsan JIM
Sekumpulan PATI bersembunyi di atas siling di premis perniagaan ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia negeri Johor kelmarin. Gambar Ihsan JIM

PATI menyorok di siling elak ditahan

JOHOR BAHRU: Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri daripada ditahan termasuk dengan bersembunyi di siling rumah bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, seramai 44 orang ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen Johor dalam operasi di Taman Daya di sini, kelmarin.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata 13 premis diserbu menerusi Ops Sapu, susulan maklumat awam mengenai sejumlah warga asing tinggal di negara ini tanpa permit sah di kawasan itu.

"Secara keseluruhannya, seramai 93 warga asing dan warga tempatan diperiksa dengan 44 daripadanya ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

"Dua notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada beberapa individu dalam operasi itu bagi membantu siasatan.

"Mereka yang ditahan berusia antara 11 bulan hingga 53 tahun dan semuanya ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X