Ahad, 21 April 2024 | 9:13pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Mayat lelaki ditemui dalam semak, dipercayai mangsa bunuh

SEREMBAN: Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam semak berdekatan pondok bas di tepi jalan KM 10 Jalan Seremban-Port Dickson dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berkaitan penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun dalam keadaan terbaring dan lengkap berpakaian itu pada jam 9.20 pagi.

"Pemeriksaan pada badan mangsa menemukan kesan kecederaan dan disyaki dibunuh menggunakan senjata tajam.

"Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah motosikal yang didaftar atas nama mangsa, topi keledar, selipar serta seutas jam tangan bersamanya manakala tiada dokumen peribadi milik lelaki itu dijumpai," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat di Hospital Port Dickson hari ini menemukan kesan tetakan pada tepi leher dan kepala mangsa manakala punca kematiannya disebabkan luka kelar di leher.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Husairin Che Hussin menerusi talian 012-965 4927, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Port Dickson 06-646 2999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – BERNAMA

Berita Harian X