Ahad, 21 April 2024 | 7:06pm
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan enam premis makanan di Masai, Johor. - Foto ihsan Jabatan Imigresen Johor
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan enam premis makanan di Masai, Johor. - Foto ihsan Jabatan Imigresen Johor

30 warga asing kerja kedai makan ditahan di Johor

JOHOR BAHRU: Seramai 30 warga asing ditahan dalam satu operasi membabitkan serbuan ke atas enam premis kedai makan di sekitar Masai, Pasir Gudang.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata operasi dialukan kira-kira 9 malam pada Selasa lalu, susulan aduan orang awam.

Katanya, daripada 30 yang ditahan itu 10 adalah warga Myanmar manakala lapan Nepal selain masing-masing lima Bangladesh dan Filipina serta seorang warga India dan Indonesia.

"Mereka yang ditahan adalah dalam lingkungan usia 21 hingga 43 tahun. Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baharuddin berkata siasatan awal mendapati warga asing berkenaan menyalahgunakan pas atau permit untuk bekerja di premis berkenaan.

Katanya, dalam operasi itu seramai 59 warga asing dan warga tempatan diperiksa.

"30 daripadanya ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen iaitu salahguna Pas Lawatan Sosial," katanya.

Baharuddin berkata sebanyak lima notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada beberapa individu dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan.

Berita Harian X