Ahad, 21 April 2024 | 10:50am
Anggota bomba memadamkan kebakaran kereta Volkswagen Golf yang terjunam ke dalam gaung di Jalan Bukit Sebelah. - Foto ihsan bomba
Anggota bomba memadamkan kebakaran kereta Volkswagen Golf yang terjunam ke dalam gaung di Jalan Bukit Sebelah. - Foto ihsan bomba

'Pemandu dakwa nampak jelas laluan jalan lurus sedangkan ia selekoh...'

SIK: Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar melalui tingkap kereta selepas kenderaan dipandunya itu dipercayai terbabas lalu terjunam ke gaung dan terbakar di Jalan Bukit Sebelah, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata lelaki berusia 36 tahun itu bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan seorang diri dari Pekan Sik menuju ke Baling dengan memandu kereta jenis Volkswagen Golf.

Sejurus pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 1.53 pagi, beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari BBP Sik dengan diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Soffuan Sabry bergegas ke lokasi.

"Pasukan kemudian memadamkan kebakaran itu di lokasi kejadian. Namun, kereta Volkswagen Golf berkenaan musnah kira-kira 90 peratus akibat terbakar.

"Berdasarkan maklumat mangsa, kejadian berlaku ketika dia sedang memandu dan mendakwa nampak dengan jelas laluan terbabit adalah jalan lurus sedangkan ia adalah kawasan selekoh," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes kemudian diserahkan kepada pihak polis serta Unit Forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X