Jumaat, 19 April 2024 | 3:46pm
Pengarah filem kontroversi Mentega Terbang, Mohd Khairianwar Jailani. - NSTP
Pengarah filem kontroversi Mentega Terbang, Mohd Khairianwar Jailani. - NSTP

Perintah larangan bersuara ke atas pengarah 'Mentega Terbang' kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan pengarah filem kontroversi Mentega Terbang, Mohd Khairianwar Jailani untuk mendapatkan kebenaran merayu ke atas perintah larangan bersuara.

Berikutan itu Mohd Khairianwar, 32, kekal dilarang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pertuduhan jenayah yang dihadapinya.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas berpuas hati bahawa permohonan dikemukakan Mohd Khairianwar selaku perayu tiada merit.

Ketika membacakan penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata, tiga persoalan undang-undang yang dikemukakan adalah persoalan yang pernah dibangkitkan dan diputuskan sebelum ini.

"Pemohon gagal menunjukkan majistret dan hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika menggunakan budi bicara sewaktu membenarkan perintah larangan bersuara dikenakan terhadapnya.

"Mahkamah juga berpuas hati larangan itu terletak di bawah budi bicara majistret berkenaan, manakala perintah itu hanya membabitkan kes yang sedang dihadapinya," katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu yang mengekalkan perintah larangan bersuara terhadap pengarah berkenaan sehingga kes itu selesai tidak berubah.

Sebelum ini, Mohd Khairianwar memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakannya untuk mengetepikan perintah larangan bersuara yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu.

Hakim K Muniandy mengekalkan larangan itu selepas mengambil kira sifat pertuduhan yang dihadapinya, selain bagi memelihara kepentingan perbicaraan yang akan didengar kelak.

Terdahulu, peguam mewakili perayu, Zaid Malek berhujah, antara persoalan undang-undang yang dikemukakan adalah sama ada Mahkamah Majistret boleh mengeluarkan perintah larangan bersuara tanpa disertakan dokumen sokongan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah berhujah, ketiga-tiga persoalan undang-undang dibangkitkan bukan isu baharu yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan kebenaran merayu.

Pada 17 Januari lalu, Mohd Khairianwar dan penerbit filem itu, Tan Meng Kheng, 37, didakwa atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem itu.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya selaku pengarah, penulis skrip serta penerbit filem Mentega Terbang didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Semarak Api 2 di Kuala Lumpur jam 12.34 tengah hari pada 26 Februari 2023.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Filem Mentega Terbang yang ditayangkan melalui platform dalam talian dilihat menyentuh perbezaan dan persamaan agama-agama utama di Malaysia, selain mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni.

Berita Harian X