Jumaat, 19 April 2024 | 1:14pm

Bimbang jadi mangsa 'scammer' pelanggan tak jawab panggilan bank - Polis

KUALA LUMPUR: Syarikat perbankan di negara ini disaran mencari kaedah sesuai bagi meyakinkan pelanggan ketika berhubung melalui telefon.

Ini susulan kesukaran syarikat perbankan menghubungi pelanggan yang tidak mahu menjawab panggilan atau mematikan panggilan kerana tidak mahu menjadi mangsa penipuan dalam talian atau 'scammer'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata polis menerusi JSJK sering menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menerima panggilan daripada pihak tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.

"Situasi ini berlaku disebabkan modus operandi yang kerap berlaku dalam kes-kes penipuan dalam talian yang kerap menggunakan kaedah panggilan telefon untuk menghubungi mangsa.

"Situasi ini telah menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat bahawa apa juga panggilan daripada nombor tidak dikenali adalah 'scammer'.

"Malahan pihak saya (JSJK) juga berulang kali mengingatkan masyarakat untuk tidak melayan panggilan daripada nombor tidak dikenali," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ramli berkata, perkara ini sedikit sebanyak turut mengakibatkan kesukaran kepada institusi perbankan untuk berhubung dengan pelanggan bagi sebarang urusan berkaitan.

"Bagi mengatasi masalah isu ini, disarankan pihak bank yang membuat panggilan kepada pelanggan untuk terlebih dahulu memaklumkan tujuan panggilan tersebut secara jelas.

"Setelah itu barulah disusuli dengan soalan-soalan pengesahan dan adalah dikhuatiri sekiranya pelanggan didesak dengan soalan-soalan pengesahan di peringkat awal panggilan ia akan mengakibatkan pelanggan memutuskan panggilan yang sekali gus merugikan pihak bank atau pelanggan itu sendiri," katanya.

Katanya, beliau pernah ditanya apa akan terjadi kepada industri yang menggunakan khidmat 'telemarketing' untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan jika PDRM terus menasihati masyarakat untuk tidak menjawab panggilan dari nombor tidak dikenali.

"Saya sarankan industri ini mengubah cara promosi mereka dan bukannya mengubah 'consumer behaviour'.

"Oleh kerana wujudnya dikotonomi dalam keduanya maka yang perlu menyerlah adalah yang mirip kepada 'protection of consumers', yakni penjual perlu berubah dan bukannya pembeli atau pengguna," katanya.

Katanya, berdasarkan rekod pengesahan Bank Negara Malaysia (BNM), panggilan telefon daripada sindiket penipuan dalam talian bukan hanya menggunakan nombor telefon bimbit, malah turut menggunakan talian tetap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan barang rampasan dalam serbuan ke atas sindiket penipuan dalam talian di Menara KPJ, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan barang rampasan dalam serbuan ke atas sindiket penipuan dalam talian di Menara KPJ, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X