Jumaat, 19 April 2024 | 10:36am
Tertuduh berusia 25 tahun tiba untuk didakwa selepas membunuh anak kandungnya berusia enam bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi. NSTP/Aizuddin Saad
Tertuduh berusia 25 tahun tiba untuk didakwa selepas membunuh anak kandungnya berusia enam bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi. NSTP/Aizuddin Saad

Pengawal keselamatan didakwa bunuh bayinya berusia 6 bulan

BANGI: Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh bayinya berusia enam bulan di sebuah pangsapuri di Beranang dekat Hulu Langat, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohamad Aizat Samin, 25, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Ia berikutan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Aysar Wildan di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Hulu Langat, pada 14 April lalu jam 8 malam hingga keesokannya jam 7.40 pagi.

Tertuduh berusia 25 tahun tiba untuk didakwa selepas membunuh anak kandungnya berusia enam bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Tertuduh berusia 25 tahun tiba untuk didakwa selepas membunuh anak kandungnya berusia enam bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan sekiranya sabit kesalahan.

Ketika prosiding, isteri tertuduh dilihat menangis di galeri awam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur liyana Mohd Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam, Arif Azmi.

Mahkamah tidak membenarkan Mohamad Aizat diikat jamin sebelum menetapkan 28 Mei ini untuk mengetahui perkembangan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Kelmarin BH melaporkan, seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut disyaki akibat menjadi mangsa dera bapa kandungnya.

Penderaan dialami mangsa terbongkar susulan bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik Hospital Kajang terhadap mayat mangsa yang menemui kesan kecederaan pada kepalanya.

Berikutan itu, polis menahan bapa bayi berkenaan pada Isnin lalu jam 11.30 malam untuk membantu siasatan.

Suspek ditahan di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Kajang sebelum saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

Berita Harian X