Jumaat, 19 April 2024 | 7:36am

Pengawal keselamatan dituduh bunuh bayi sendiri pagi ini

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan akan dituduh di mahkamah hari ini atas kesalahan membunuh bayinya yang berusia enam bulan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman, berkata pendakwaan ke atas lelaki berusia 25 tahun akan dijalankan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi.

"Suspek akan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan membunuh anak kandung yang berusia enam bulan.

"Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh orang)," katanya dalam kenyataan, semalam.

Suspek sebelum ini ditahan pada Ahad lalu untuk membantu siasatan kes kematian bayi berusia enam bulan yang dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang.

Kelmarin BH melaporkan, seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut disyaki akibat menjadi mangsa dera bapa kandungnya.

Penderaan dialami mangsa terbongkar susulan bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik Hospital Kajang terhadap mayat mangsa yang menemui kesan kecederaan pada kepalanya.

Muhamad Nasir dilaporkan berkata pada awalnya polis menerima laporan daripada bapa mangsa pada jam 8.52 pagi.

"Lelaki itu mendakwa bayinya ditemukan tidak sedarkan diri di rumah dekat sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma.

"Hasil pemeriksaan awal, tiada kecederaan ditemui pada badan mangsa sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat, pakar mengesahkan kecederaan mangsa bukan disebabkan kemalangan, tetapi disebabkan perbuatan jenayah ke atas mangsa," katanya.

Berikutan itu, polis menahan bapa bayi berkenaan pada jam 11.30 malam hari kejadian untuk membantu siasatan.

Suspek ditahan di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Kajang sebelum saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

Berita Harian X