Khamis, 18 April 2024 | 4:42pm
Seorang murid Tahun Dua diselamatkan anggota bomba selepas terkunci di dalam kereta kira-kira 20 minit di Jalan Lagenda 1, Taman Lagenda, Melaka, petang tadi. NSTP/Ihsan Bomba
Seorang murid Tahun Dua diselamatkan anggota bomba selepas terkunci di dalam kereta kira-kira 20 minit di Jalan Lagenda 1, Taman Lagenda, Melaka, petang tadi. NSTP/Ihsan Bomba

Bomba selamatkan kanak-kanak terperangkap dalam kereta berkunci

MELAKA: Seorang murid Tahun Dua diselamatkan anggota bomba selepas terkunci di dalam kereta kira-kira 20 minit di Jalan Lagenda 1, Taman Lagenda, di sini, petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Ismail Harun, berkata pihaknya menerima panggilan daripada ibu kanak-kanak itu pada jam 2.56 petang memaklumkan anak lelakinya terperangkap di dalam kereta yang terkunci.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan sembilan anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dikejarkan ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa.

Katanya, sebaik tiba di lokasi enam minit kemudian, anggota PKO mendapati orang awam cuba membantu untuk membuka pintu kereta Honda Civic FD itu, namun gagal.

"Anggota bomba menggunakan alat khas dinamakan 'spacer kit' dan berjaya membuka pintu kereta terbabit dan mendapati kanak-kanak lelaki sedang tidur dengan enjin kenderaan dalam keadaan hidup.

"Difahamkan, kanak-kanak itu ditinggalkan oleh ibunya untuk ke kedai berdekatan dan cemas apabila mendapati anaknya tertidur dipercayai akibat cuaca panas.

"Walaupun cuba mengejutkan anaknya termasuk dengan bantuan orang awam, pengadu kemudian menghubungi bantuan bomba," katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, pasukan bomba mengambil masa lima minit untuk membuka pintu kereta berkenaan dan mendapati kanak-kanak lelaki itu sedang tidur serta tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada ibunya.

Berita Harian X