Selasa, 16 April 2024 | 8:20pm
Muhammad Nur Fitri didenda RM3,000 atas kesalahan menggelar teman wanita pelacur dan mencederakan mangsa pada 1 Syawal lalu. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Muhammad Nur Fitri didenda RM3,000 atas kesalahan menggelar teman wanita pelacur dan mencederakan mangsa pada 1 Syawal lalu. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad

Lelaki cedera, gelar teman wanita pelacur didenda RM3,000

MELAKA: Seorang bekas pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mengaibkan teman wanita dengan menggelarnya sebagai pelacur serta mencederakan mangsa pada 1 Syawal lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Nur Fitri Lot,29, atas dua pertuduhan, menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Dalam penghakimannya itu, Nabilah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat hendak mengaibkan kehormatan terhadap seorang wanita berusia 36 tahun dengan cara memarahi dengan menggunakan kata-kata kesat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan AP 7, Taman Alai Perdana, dekat sini, pada 10 April lalu, kira-kira jam 6 petang.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Nur Fitri didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera kepada mangsa sama pada tarikh, masa dan di tempat sama iaitu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira pertuduhan dan fakta kes.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda rendah dan tidak dipenjarakan kerana mahu menjaga anak dan keluarga serta mahu bekerja semula.

Berita Harian X