Selasa, 16 April 2024 | 5:05pm
Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (kiri) dan ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman.
Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (kiri) dan ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman.

Kadir Sheikh Fadzir saman Alif Syukri RM70 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menuntut bayaran RM70 juta daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman, atas dakwaan memfitnah.

Abdul Kadir, 84, menerusi saman difailkan selaku plaintif terhadap ahli perniagaan itu sebagai defendan pada 6 September 2023 berkata Aliff Syukri, 37, mengeluarkan kenyataan fitnah di Instagram dan Facebook pada 2 Julai tahun sama.

Beliau yang juga bekas Menteri Penerangan mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan jutaan ringgit, selain gambar plaintif diletakkan pada kenyataan yang mengundang komen negatif daripada pembaca.

Selain tuntutan RM70 juta, bekas menteri itu meminta ganti rugi yang dinilai mahkamah dan perintah supaya defendan memberi aku janji bertulis tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat disiarkan di akaun media sosial usahawan terbabit selama tujuh hari.

Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaan pula mendakwa membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 membabitkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

"Pihak-pihak dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang dilaburkan saya dan segala pelanggaran janji sedemikian termasuk aku janji diberikan kepada saya adalah dalam pengetahuan plaintif sendiri," katanya.

Bicara kes pada Januari 2026

Ketika prosiding hari ini, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes saman itu selama tiga hari pada awal 2026.

Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, memutuskan 6 hingga 8 Januari 2026 sebagai tarikh bicara, manakala 5 Julai ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Terdahulu, peguam bela Abdul Kadir, T Dheenish, berkata anak guamnya akan memberi keterangan pada perbicaraan kes saman itu.

"Kemungkinan pihak plaintif akan memanggil beberapa saksi daripada portal berita yang menerbitkan dakwaan defendan yang dimuat naik di Instagram dan Facebook," katanya.

Peguam, Mohd Tajudin Abd Razak mewakili Aliff Syukri berkata pihak defendan akan mengemukakan dua saksi iaitu usahawan itu sendiri dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid untuk memberi keterangan.

Berita Harian X