Ahad, 14 April 2024 | 11:16pm
Nahas di KM 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa di Gerik pada 7 April lalu.
Nahas di KM 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa di Gerik pada 7 April lalu.

Anak pasangan suami isteri maut kemalangan di JRTB meninggal dunia

IPOH: Anak kepada suami isteri yang maut kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) Gerik–Jeli, dekat Gerik pada 7 April lalu, meninggal dunia awal pagi semalam.

Anak bongsu kepada pesara tentera Kamizan Kasimon, 42, dan isterinya, Noor Asmah Mat Zainal, 38, yang maut di tempat kejadian itu, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan perkara itu.

"Mangsa berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia di HRPB," katanya.

Kematian itu menjadikan jumlah mangsa yang maut dalam kemalangan terbabit sebanyak empat orang setakat ini, termasuk seorang lagi mangsa yang juga pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova berusia 54 tahun, meninggal dunia kira-kira jam 11.20 malam pada hari kejadian di Hospital Taiping.

Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari itu, sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan MPV berkenaan.

Anak lelaki dan perempuan pasangan itu masing-masing berusia 10 dan tiga tahun dilaporkan mengalami kecederaan di badan, manakala lima lagi mangsa yang menaiki Toyota Innova juga cedera dan menerima rawatan di hospital. - BERNAMA

Berita Harian X