Jumaat, 12 April 2024 | 9:10pm
Seorang lemas manakala seorang lagi hilang selepas dihanyutkan kepala air di air terjun di Kampung Sebat, Sematan, hari ini.- Foto NSTP/ ihsan JBPM
Seorang lemas manakala seorang lagi hilang selepas dihanyutkan kepala air di air terjun di Kampung Sebat, Sematan, hari ini.- Foto NSTP/ ihsan JBPM

Seorang lemas dihanyutkan kepala air

KUCHING: Seorang lelaki mati lemas di air terjun Kampung Sebat, Sematan dalam daerah Lundu, selepas dihanyutkan kepala air, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, seorang lagi lelaki hilang, manakala dua rakan mereka selamat.

Katanya, semua mangsa ialah lelaki berusia 20 tahun dengan dua daripada mereka diselamatkan penduduk kampung dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu.

Beliau berkata, mangsa yang lemas, Vincent Tiong Kung Cheng, ditarik oleh penduduk kampung, namun anggota paramedik yang tiba mengesahkannya sudah meninggal dunia.

"Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bagi mencari seorang lagi yang masih hilang iaitu Steven Chai Pok Yee," katanya.

Menurutnya, bomba menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 4.55 petang.

"Sepasukan 11 anggota termasuk kenderaan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu diarah ke tempat kejadian yang terletak 31 kilometer dari balai.

"Operasi SAR ditangguhkan pada jam 7 petang selepas berbincang dengan pihak polis dan anggota Jabatan Relawan Malaysia (RELA) kini mengawal kawasan itu," katanya.

Berita Harian X