Khamis, 11 April 2024 | 11:49pm
Anggota pasukan bomba memadam kebakaran rumah penduduk di Kampung Sarip, Lahad Datu, hari ini. - Foto ihsan JBPM Lahad Datu
Anggota pasukan bomba memadam kebakaran rumah penduduk di Kampung Sarip, Lahad Datu, hari ini. - Foto ihsan JBPM Lahad Datu

Keriangan Aidilfitri bertukar duka buat dua keluarga

LAHAD DATU: Keriangan sambutan Aidilfitri dua keluarga di Kampung Sarip, di sini, hari ini bertukar pilu apabila rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran.

Kejadian jam 11.50 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11. 52 pagi.

Katanya, sembilan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu diketuai Pegawai Bomba, Amri Muliadi, bergegas ke lokasi dan sebaik tiba dua rumah itu sudah dijilat api.

"Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan satu aliran, dua pancutan dari sumber air pili bomba.

"Api berjaya dikawal jam 12.26 tengah hari dan dua rumah terbakar sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Riki Mohan berkata dua kereta jenis Proton Saga dan Proton Saga Aerobik turut terbakar 100 peratus dalam kebakaran itu.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.33 petang. Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba," katanya.

Berita Harian X