Khamis, 11 April 2024 | 12:47pm
Enam pistol bersama 200 peluru hidup yang dirampas daripada suspek lelaki warga Israel dalam serbuan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 27 Mac lalu. - Foto NSTP
Enam pistol bersama 200 peluru hidup yang dirampas daripada suspek lelaki warga Israel dalam serbuan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 27 Mac lalu. - Foto NSTP

Lelaki Israel miliki enam senjata api, 200 peluru akan didakwa esok - Razarudin

KUALA LUMPUR: Shalom Avitan, lelaki warga Israel yang ditahan pada 27 Mac lalu akan dituduh mengikut Akta Senjata Api, esok.

Pertuduhan terhadap suspek berusia 38 tahun yang ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 peluru dijadualkan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan demikian kepada BH hari ini, berkata siasatan terhadap lelaki Israel itu selesai dijalankan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

"Siasatan selesai dijalankan selepas pejabat Timbalan Pendakwa Raya bersetuju dengan cadangan melakukan pertuduhan kerana memiliki senjata api terhadapnya. Siasatan terhadap baki 14 lagi yang masih ditahan masih berjalan dan mereka masih dalam reman," katanya.

Razarudin, berkata siasatan terhadap 14 individu itu dibuat berhubung kaitan mereka dengan kesalahan memiliki senjata api.

"Pada masa ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung individu lain yang masih ditahan termasuk keterangan dari dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia," katanya.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menggunakan pasport Perancis, disyaki merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Susulan soal siasat ke atasnya, polis memberkas sepasang suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac. Mereka disyaki menjual enam senjata api kepada lelaki Israel itu. Polis turut menemukan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang dalam kereta milik pasangan terbabit.

Pasukan khas polis yang mengendalikan kes terdiri Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kemudian menahan 12 lagi individu dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan dan Lembah Klang.

Pasangan suami isteri yang dipercayai membekalkan senjata api kepada seorang warga Israel didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April lalu berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.

Sharifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana didakwa memiliki pistol itu, manakala Abdul Azim Mohd Yasin, 43, mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.

Menurut dokumen mahkamah, pasangan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit, kira-kira jam 8 malam pada 29 Mac lalu di sebuah premis di Kampung Bukit Belimbing di Kuala Selangor.

Berita Harian X