Selasa, 9 April 2024 | 5:37pm
Tangkap layar menunjukkan letupan bunga api tidak terkawal di Dataran Jam Besar yang mengundang rasa takut pengunjung bazar Aidilfitri di kawasan itu. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar menunjukkan letupan bunga api tidak terkawal di Dataran Jam Besar yang mengundang rasa takut pengunjung bazar Aidilfitri di kawasan itu. - Foto ihsan pembaca

2 lelaki ditahan insiden bakar mercun di Sungai Petani - Polis

SUNGAI PETANI: Dua lelaki ditahan untuk membantu siasatan kerana disyaki terbabit insiden membakar mercun di tempat terbuka yang boleh membahayakan nyawa di Dataran Zero, Jalan Badlishah, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, selain pemilik mercun yang berusia 27 tahun, seorang lagi ditahan adalah lelaki berusia 24 tahun yang membakar mercun terbabit.

"Pegawai kami menerima maklumat melalui aplikasi WhatsApp dalam bentuk video berdurasi 43 saat berkaitan letupan mercun dan bunga api di tempat kejadian.

"Siasatan awal dilakukan mendapati letupan itu berpunca pembakaran satu unit mercun jenis 'happy bom firework' yang mana sewaktu letupan berlaku mercun terbabit dipercayai terbalik dan tersasar ke arah lambakan mercun lain.

"Kejadian menyebabkan suasana cemas dengan letupan dan dentuman mercun serta bunga api dalam kuantiti yang banyak," katanya melalui kenyataan.

Zaidy berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani turut dikejarkan ke lokasi kejadian, namun mengesahkan tiada kebakaran berlaku dan tiada sebarang kecederaan dialami orang awam di sekitar lokasi terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957.

Media hari ini melaporkan orang ramai yang mengunjungi Dataran Jam Besar, di sini cemas dan bertempiaran lari sebaik terdengar letupan bunga api dan mercun di kawasan itu, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku sekitar jam 4.48 pagi itu menyebabkan pengunjung dan peniaga di kawasan itu ketakutan selepas melihat letupan menjadi tidak terkawal.

Berita Harian X