Ahad, 7 April 2024 | 6:48pm
Pasukan bomba memadam kebakaran yang membabitkan empat rumah di Kampung Linsuk Bersatu, Jalan Linsuk Bersatu, Putatan. - Foto ihsan bomba
Pasukan bomba memadam kebakaran yang membabitkan empat rumah di Kampung Linsuk Bersatu, Jalan Linsuk Bersatu, Putatan. - Foto ihsan bomba

Dua cedera kebakaran empat rumah di Putatan

PUTATAN: Dua individu cedera dalam kebakaran membabitkan empat rumah di Kampung Linsuk Bersatu, Jalan Linsuk Bersatu, di sini, hari ini.

Mangsa seorang lelaki berusia 63 tahun, melecur di bahagian tangan, manakala seorang wanita pula pengsan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.03 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Benny Lim digerakkan tempat kejadian.

"Kebakaran membabitkan empat rumah dan operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dan empat pancutan dengan menggunakan sumber air dari jentera.

"Terdapat dua mangsa terbabit iaitu wanita warga emas pengsan dan lelaki melecur di bahagian tangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut.

"Rumah pertama, kedua dan ketiga musnah sepenuhnya, manakala rumah keempat terkena bahang bahagian dinding.

"Operasi terkawal pada jam 2.25 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba," katanya.

Berita Harian X