Jumaat, 5 April 2024 | 5:27pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Pasangan 'doktor gigi' ekspres ditahan

PETALING JAYA: Masuk kelas sehari, terus jadi doktor gigi.

Kegiatan pasangan suami isteri menawarkan perkhidmatan sarung gigi (veneer) secara haram terbongkar selepas premis yang berselindung di sebalik salon kecantikan digempur dalam operasi di Damansara Perdana, di sini kelmarin.

Suspek ketika disoal siasat mengakui menjalankan aktiviti itu sejak dua tahun lalu selepas menghadiri kelas rawatan anjuran sebuah salon kecantikan lain selama sehari dengan bayaran RM2,000.

Pasangan 'doktor media sosial' berusia 23 dan 24 tahun itu dikatakan giat menawarkan perkhidmatan veneer menerusi aplikasi TikTok.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor berkata serbuan dibuat kira-kira jam 2 petang dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya susulan risikan selama sebulan.

"Ketika serbuan, suspek lelaki sedang menjalankan rawatan veneer gigi terhadap seorang pelanggan.

"JKN percaya spa kecantikan itu menawarkan caj sekitar RM400 hingga RM1,000 untuk rawatan veneer selain pemutihan gigi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pasangan itu mempromosikan perkhidmatan menerusi media sosial TikTok.

"Pelanggan perlu membuat temu janji dan bayar deposit terlebih dahulu untuk mendapatkan slot rawatan.

"JKN percaya peralatan dan bahan pergigian yang digunakan diperoleh suspek menerusi pembelian secara dalam talian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 iaitu menjalankan amalan pergigian oleh orang yang tidak berkelayakan dan berdaftar yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X