Jumaat, 5 April 2024 | 8:03am
Rumah Bonda disita pada 9 Julai 2021 kerana didapati premis itu tidak didaftar sebagai pusat jagaan. - Foto fail NSTP
Rumah Bonda disita pada 9 Julai 2021 kerana didapati premis itu tidak didaftar sebagai pusat jagaan. - Foto fail NSTP
Rumah Bonda, menerusi Pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali, telah memfailkan semakan kehakiman pada 13 Ogos 2021 dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai responden. - Foto fail NSTP
Rumah Bonda, menerusi Pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali, telah memfailkan semakan kehakiman pada 13 Ogos 2021 dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai responden. - Foto fail NSTP

Permohonan Rumah Bonda cabar penutupan premis bersifat akademik - Hakim

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur (Rumah Bonda) untuk mencabar tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan menutup premisnya.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas mendapati arahan responden pertama (Pengarah JKM Wilayah Persekutuan) untuk menutup premis tersebut telah dilakukan dengan betul di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Rumah Bonda, menerusi Pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali, telah memfailkan semakan kehakiman pada 13 Ogos 2021 dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai responden.

Ahmad Kamal berkata, mahkamah juga mendapati permohonan itu bersifat akademik kerana saman pemula telah difailkan oleh Rumah Bonda di Mahkamah Majistret di sini untuk memohon perintah agar JKM membuang tanda sitaan bagi premisnya yang diluluskan oleh Mahkamah Majistret pada 15 Julai 2022 tertakluk kepada syarat bahawa ia tidak akan beroperasi sebagai pusat jagaan selagi ia tidak berdaftar.

"Mahkamah mendapati pemohon juga mempunyai pengetahuan bahawa Rumah Bonda tidak dibenarkan beroperasi sebelum pendaftaran dan ini boleh dilihat daripada surat yang dikeluarkan oleh JKM Wilayah Persekutuan kepada pemohon," kata beliau.

Keputusan rayuan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didapati bersalah atas kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, yang dijadual hari ini ditangguhkan ke 2 Mei. - Foto fail NSTP
Keputusan rayuan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didapati bersalah atas kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, yang dijadual hari ini ditangguhkan ke 2 Mei. - Foto fail NSTP

Beliau berkata, mahkamah berpandangan bahawa dakwaan penderaan terhadap Bella, seorang remaja perempuan dengan Sindrom Down di bawah jagaan mereka bukanlah sebab untuk responden pertama menutup Rumah Bonda sebaliknya kerana premis itu tidak didaftar sebagai pusat jagaan.

Hakim itu berkata, mahkamah juga berpendapat bahawa responden kedua tidak sepatutnya dinamakan sebagai pihak dalam permohonan tersebut kerana tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia terlibat dalam proses membuat keputusan.

"Keputusan menutup premis itu telah dibuat oleh responden pertama dan ia tidak dicemari oleh apa perkara yang tidak sah di sisi undang-undang, tidak rasional atau tidak munasabah. Justeru, mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman ini tanpa kos," katanya ketika menyampaikan keputusan itu hari ini menerusi aplikasi Zoom.

Peguam, Asiah Abd Jalil mewakili Rumah Bonda manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nur Idayu Amir bagi pihak responden.

Pada 15 November 2021, Mahkamah Tinggi ketika membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara membenarkan permohonan Rumah Bonda untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung tindakan JKM menutup premisnya di Taman Setapak di sini.

Pada 25 Julai 2023, Mahkamah Rayuan memerintahkan permohonan semakan kehakiman oleh Rumah Bonda dikembalikan ke Mahkamah Tinggi selepas panel tiga hakim sebulat suara memutuskan bahawa terdapat merit dalam rayuan itu.

Menerusi permohonan itu, Siti Bainun antara lain mendakwa perintah yang dikeluarkan oleh JKM pada 9 Julai 2021 dan penutupan premisnya pada 12 Julai adalah dipengaruhi tekanan orang ramai susulan laporan media berkaitan isu penderaan kanak-kanak di pusat jagaan berkenaan yang tular pada 5 Julai tahun sama.

Siti Bainun mendakwa, tindakan kedua-dua responden telah dilakukan secara tergesa-gesa susulan desakan orang ramai supaya JKM dan kerajaan mengambil tindakan berhubung dakwaan kes penderaan di premis itu. – BERNAMA

Berita Harian X