Khamis, 4 April 2024 | 3:31pm
Datuk Seri Najib Razak (tengah) ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Najib Razak (tengah) ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA

Bicara skandal 1MDB: Isu Jho Low suka petik nama timbul lagi

KUALA LUMPUR: Kecenderungan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low 'memetik' nama individu berkuasa dan berpengaruh sekali lagi timbul dalam perbicaraan kes skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Tabiat Jho Low yang sering mengaitkan dirinya dengan individu berkenaan dan nama hebat di seluruh dunia, dinyatakan melalui keterangan saksi penting, Jasmine Loo ketika menjawab soalan balas peguam bela Tania Scivetti.

Menurut Jasmine yang pernah menghilangkan diri ke luar negara dan diburu pihak berkuasa bagi membantu siasatan skandal 1MDB, beliau menyedari tabiat Jho Low itu malah mengakui bahawa dirinya sendiri tidak dapat mengesahkan dakwaan lelaki terbabit.

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu, sebelum ini memberitahu mahkamah, Jho Low pernah menyatakan dalam satu mesyuarat bahawa beliau mengenali dan akan mengadakan pertemuan individu (berpengaruh) dari Kuwait), perdana menteri dan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Joanna juga mendakwa Jho Low memetik nama Putera Mahkota Arab Saudi, Ratu Rania Jordan, Putera Turki Saudi, dan warga Arab Saudi yang dikaitkan dengan 1MDB, Tarek Obaid.

Sementara itu, Jasmine sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menolak cadangan Scivetti bahawa beliau bersetuju untuk memberi keterangan yang memihak kepada pihak pendakwaan supaya kes yang dihadapinya tidak diteruskan.

Pada 2018, Jasmine didakwa secara in absentia (tanpa kehadiran) di Mahkamah Sesyen Putrajaya mengikut Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, iaitu bersubahat menyalahgunakan AS$2.7 bilion daripada tiga bon 1MDB yangdijamin oleh bank pelaburan global, Goldman Sachs.

Katanya, ketika dituduh di mahkamah, beliau tidak dipanggil oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan tiada kenyataannya yang direkodkan.

Bagaimanapun, katanya sejak kembali ke tanah air, beliau telah menjawab kepada pihak berkuasa berhubung pertuduhan berkenaan.

Jasmine memberikan keterangan terhadap Najib, 70 yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Berita Harian X