Isnin, 1 April 2024 | 4:30pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini.

1MDB: Saksi setuju PSI suatu kerja penipuan

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, hari ini diberitahu keseluruhan skim membabitkan syarikat PetroSaudi International Ltd (PSI) yang dikatakan menjalinkan usaha sama dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan suntikan dana bernilai AS$1 bilion adalah suatu penipuan semata-mata.

Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo ketika disoal peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, berkata apabila difikirkan kemudian beliau bersetuju bahawa PSI adalah suatu kerja penipuan semata-mata.

Loo berkata demikian selaku saksi pendakwaan ke-50, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa ia bukan tugas Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu untuk menentukan bahawa syarikat PSI adalah entiti Arab Saudi yang sebenar.

Menurut kes pendakwaan, satu usaha sama palsu antara 1MDB dan PSI dikenali projek Aria diwujudkan tertuduh (Najib) dengan 1MDB meminjam AS$1 bilion kononnya untuk melabur dalam syarikat usaha sama dikenali 1MDB Petro Saudi Limited.

Wang itu adalah untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat usaha sama, di mana PSI memperoleh 60 peratus saham dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai yang diragukan.

Bagaimanapun, usaha sama itu tidak dimasuki dengan PSI, sebaliknya melalui satu syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd dan Tariq Obaid (kenalan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low) melaksanakan perjanjian bagi mewakili Petro Saudi (Cayman).

Sementara itu, Loo bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa pengurusan 1MDB sepatutnya melakukan penelitian wajar terhadap PSI sebelum wang 1MDB disalurkan ke dalam syarikat berkenaan.

Menurut Loo, pengetahuannya berhubung PSI ketika itu hanya berdasarkan dokumen diberikan seperti surat dari pihak bank dan maklumat daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Muhammad Shafee: Adakah tugas Perdana Menteri untuk mengetahui PSI benar-benar wujud di (Arab) Saudi?

Loo: Tidak

Muhammad Shafee: Adakah ia tugas pengurusan atau Wong & Partners (syarikat perunding)?

Loo: Ya, salah satu daripadanya.

Muhammad Shafee: Termasuk anda, kerana anda dibayar tinggi, ya atau tidak?

Loo: Ya

Shahrol Azral yang memberikan keterangan pada 2019 mengakui usaha sama antara 1MDB dan PSI yang ditubuhkan pada 2009 adalah sebuah syarikat usaha sama yang gagal.

Menerusi perjanjian usaha sama pelaburan strategik itu, PSI memiliki pegangan saham sebanyak 60 peratus, manakala pegangan saham selebihnya iaitu 40 peratus adalah milik 1MDB.

Dalam perbicaraan sebelum ini, 1MDB dimaklumkan bahawa menerusi perjanjian usaha sama itu, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion, manakala PSI hanya menyuntik dana berjumlah AS$108 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Berita Harian X