Ahad, 31 March 2024 | 9:29pm
Kereta Perodua Viva dipandu mangsa merempuh pagar sebuah rumah dan kereta di Taman Gabungan, Lahad Datu hari ini. - Foto ihsan PDRM
Kereta Perodua Viva dipandu mangsa merempuh pagar sebuah rumah dan kereta di Taman Gabungan, Lahad Datu hari ini. - Foto ihsan PDRM

Warga emas maut, kereta terbabas rempuh pagar rumah

LAHAD DATU: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh pagar rumah di Taman Gabungan, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 70 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, berkata kejadian membabitkan kereta jenis Perodua Viva dipandu mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu Perodua Viva yang gagal mengawal dan merempuh pintu pagar sebuah rumah.

"Kereta dipandu mangsa turut merempuh sebuah kereta yang parkir di kawasan perumahan itu.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Rohan Shah berkata, sampel darah pemandu juga diambil untuk dianalisa pihak Jabatan Kimia di Kota Kinabalu.

"Mana-mana individu yang melihat kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X