Ahad, 31 March 2024 | 1:13pm

Penyeludup beras bawa masuk senjata, dadah dari negara jiran

KOTA BHARU: Kumpulan penyeludup beras di negeri ini dikesan kini turut memperluaskan kegiatan mereka dengan membawa masuk senjata dan dadah dari negara jiran ke sini.

Kegiatan itu terbongkar apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima lelaki, merampas pelbagai jenis dadah, dua pistol, sebuah Toyota Hilux dan lima telefon bimbit bernilai lebih RM273,000 dalam serbuan Rabu lalu.

Serbuan oleh Wildlife Crime Bureau (WCB) PDRM serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman menerusi Op Taring Bravo pada 7.40 malam dibuat di sebuah rumah di Kampung Jambu, Jalan Panji di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata operasi itu berjaya menahan lima lelaki berusia antara 30 hingga 56 tahun.

Katanya, operasi berkenaan dibuat hasil risikan dan mendapati kumpulan itu menyeludup beras dari negara jiran ke negara ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dua pucuk pistol dan pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jambu, Jalan Panji selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

"Dalam risikan awal, sindiket ini bergiat aktif dalam penyeludupan beras sejak lima tahun lalu, namun dalam serbuan ini pihak polis jumpa dadah dan pistol.

"Hasil serbuan menemukan pelbagai jenis dadah antaranya lima kilogram (kg) ganja; 17,200 biji disyaki pil kuda; 18 liter (l) disyaki air ketum; 2 l disyaki ubat batuk; dua pucuk pistol iaitu jenis STI Champion dan SW MOD 100; satu kelopak bersama lima butir peluru hidup; 42 butir peluru hidup; 50 kampit beras seberat lima kg; sebuah Toyota Hilux serta lima telefon bimbit yang bernilai RM273,815.

"Kita percaya masih ada lagi saki baki ahli kumpulan ini yang masih bebas dan PDRM akan meneruskan siasatan untuk mengesan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan tidak ada dalam senarai polis sebagai sindiket dadah dan kemungkinan mereka menyelitkan aktiviti penyeludupan dadah.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan reman bermula Khamis lalu sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; Seksyen 12(2) ADB 1952; Seksyen 30(3) Akta Racun 1952; Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971; Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"PDRM melalui WCB sentiasa komited dalam usaha memerangi segala kegiatan jenayah supaya negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.

"Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amat digalakkan supaya kegiatan jenayah ini dapat dibanteras," katanya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (dua dari kiri) memeriksa 50 kampit beras 5kg bersama sebuah Toyota Hilux yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Berita Harian X