Sabtu, 30 March 2024 | 1:57pm
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya merempuh lembu melintas jalan di Kilometer 80 Jalan Gua Musang - Kota Bharu pagi semalam. - Foto ihsan Polis
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya merempuh lembu melintas jalan di Kilometer 80 Jalan Gua Musang - Kota Bharu pagi semalam. - Foto ihsan Polis

Pekerja pembersihan maut motosikal rempuh lembu lintas jalan

KUALA KRAI: Seorang pekerja pembersihan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Kilometer 80 Jalan Gua Musang-Kota Bharu dekat Bukit Ah Kim di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.24 pagi itu, mangsa, Norsyamimi Mayedin, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat, berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di HSIP Kuala Krai dari rumahnya yang terletak di RPT Chuchoh Puteri B.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal telah melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian disebabkan mengalami kecederaan parah di bahagian

kepala serta badan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, statistik kemalangan membabitkan haiwan peliharaan di Kuala Krai bagi tempoh Januari hingga semalam adalah sebanyak 23.

"Daripada jumlah kes itu, sebanyak 20 kes membabitkan kerosakan kenderaan, dua kes membabitkan kecederaan dan satu kes maut.

"Di kawasan Kuala Krai yang selalu merekodkan kemalangan membabitkan haiwan ternakan terutamanya di kawasan Telekong, Keroh, Batu Jong, Pahi, Bukit Ahkim dan Laloh," katanya.

Beliau menasihatkan pemilik haiwan ternakan supaya tidak membiarkan ternakan mereka dilepaskan sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

"Pihak kami turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa melalui kawasan haiwan yang sering kali melintas jalan," katanya.

Berita Harian X